SINTOK, 6 Oktober- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan meningkatkan perkhidmatan internet dan rangkaian jalur lebar di institusi-institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata usaha berkenaan penting bagi memastikan pelajar dapat mengakses maklumat dengan mudah serta memastikan proses pembelajaran dan pengajaran berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
Menurutnya, pihak kementerian telah menjalinkan kerjasama untuk memastikan capaian jalur lebar di semua universiti dan politeknik di negara ini berada pada tahap terbaik.
"Kadang-kadang capaian ada, kadang-kadang tiada, atau sekadar 4G. Namun, yang paling penting adalah memastikan capaian berada pada tahap yang tinggi kerana ini akan membolehkan proses penyelidikan di universiti dan pengajaran dapat dilaksanakan dengan sempurna," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program In Person With Doc Zam di Dewan Muāadzam Shah, di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, malam tadi. Hadir sama, Naib Canselor UUM,Datuk Mohd Foad Sakdan.
Terdahulu, Zambry turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM25,000 kepada 25 pelajar UUM yang kurang berkemampuan dengan setiap pelajar menerima RM1,000.
Wang sumbangan berkenaan adalah daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS). YPS turut memberikan geran sebanyak RM20,000 kepada Majlis Perwakilan Pelajar UUM untuk menjalankan aktiviti kebajikan pelajar.