
KUALA LUMPUR, 4 Mac- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) komited memastikan komuniti Orang Asli tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara.
- Kementerian Perpaduan menempatkan komuniti Orang Asli sebagai fokus utama dalam agenda perpaduan negara.
- Festival Budaya Orang Asli dan program Magis Belantara diperkasakan untuk mempromosi warisan dan nilai budaya.
- Living Museum Day diperkenalkan untuk pengalaman interaktif mengenali suku Semai, Temiar, Jakun dan Mahmeri.
- Penubuhan 16 KRT di kampung Orang Asli dan geran tahunan RM6,000 menyokong aktiviti ekonomi, pendidikan dan keselamatan.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri, R. Yuneswaran memaklumkan bahawa komuniti tersebut sentiasa menjadi antara fokus utama dalam agenda perpaduan negara melalui pelbagai program silang budaya dan pemerkasaan komuniti.
“Festival Budaya Orang Asli telah dilaksanakan secara konsisten setiap tahun oleh Jabatan Muzium Malaysia melalui program Magis Belantara sebagai platform mengetengahkan warisan dan nilai budaya masyarakat Orang Asli,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja di Dewan Negara.
Tahun lalu, program Living Museum Day turut diperkenalkan bagi memberi pengalaman interaktif kepada pengunjung mendekati budaya suku kaum seperti Semai, Temiar, Jakun dan Mahmeri.
Kerajaan juga menubuhkan 16 kawasan Rukun Tetangga (KRT) di kampung Orang Asli daripada keseluruhan 8,603 KRT di seluruh negara.
R. Yuneswaran menambah, geran tahunan sebanyak RM6,000 diperuntukkan kepada setiap KRT aktif dengan lebih 101,000 aktiviti dilaksanakan tahun lalu merangkumi aspek ekonomi, pendidikan, keselamatan dan keharmonian negara.