PUTRAJAYA, 27 Mac– Bermula 21 April 2025, semua murid di institusi pendidikan bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan diwajibkan memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam mereka sebagai usaha menyemai semangat patriotisme.
Langkah itu melibatkan semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi, dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
KPM menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, sebagai sokongan terhadap pelaksanaan itu, kementerian akan membekalkan dua unit lencana Jalur Gemilang secara percuma kepada setiap murid bagi sesi persekolahan 2025/2026.
"Satu Garis Panduan Pemakaian Lencana Jalur Gemilang telah disediakan sebagai rujukan, yang turut dilampirkan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3/2025 untuk memastikan pelaksanaan berjalan lancar.
"Inisiatif ini bertepatan dengan peranan institusi pendidikan dalam memupuk semangat patriotisme, sekaligus membentuk generasi muda yang lebih menghargai nilai kemerdekaan dan cintakan negara," menurut kenyataan itu.