PUTRAJAYA, 11 April- Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan 19 April ini sebagai cuti tambahan persekolahan, bersempena Aidilfitri.
Menurut Menterinya, Fadhlina Sidek cuti tambahan itu bertujuan memudahkan urusan guru dan ibu bapa yang bertugas di negeri lain untuk pulang ke kampung masing-masing bagi membuat persiapan menyambut perayaan terbabit.
"Berita gembira yang saya ingin umumkan bahawa dengan ini 19 April, KPM mengumumkan cuti khas untuk semua warga KPM.
"Kita mengambil kira semua pandangan dan untuk kesejahteraan masing-masing khususnya guru-guru dan warga KPM mengurus perjalanan pulang ke kampung," katanya.
(Fadhlina Sidek)
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Forum Integriti dan Ikrar Bebas Rasuah KPM 2023, di sini hari ini.
Keputusan STAM Tahun 2022 diumum 18 April
Dalam pada itu, Fadhlina turut mengumumkan keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2022 akan dikeluarkan, 18 April ini.
Calon boleh memperoleh keputusan tersebut dari sekolah masing-masing bermula pukul 10.00 pagi.
Bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi Jabatan Pendidikan negeri tempat mereka mendaftar.
Terdahulu, seramai 4,634 orang calon menduduki peperiksaan STAM Tahun 2022 di 134 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.