PETALING JAYA, 6 November- Kementerian Pendidikan (KPM) mengakui telah menerima dua aduan berkaitan pelanggaran hak intelek melibatkan muat naik bahan pembelajaran tanpa kebenaran setakat ini.
Aduan tersebut termasuk penggunaan bahan daripada buku teks yang dipindahkan ke dalam peranti seperti televisyen pintar dan papan pintar, kemudian dijual pada harga yang lebih tinggi kepada pihak sekolah.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, walaupun jumlah aduan kecil, perkara itu tetap membimbangkan kerana melibatkan penyelewengan hak intelek kementerian.
Penyelewengan tersebut memberi impak negatif kepada kualiti dan integriti sistem pendidikan negara.
"Saya fikir, apabila kita menerima aduan ini, langkah utama adalah memastikan bahawa kandungan tersebut tidak lagi dimuat naik tanpa kebenaran serta memastikan hak cipta intelek khususnya berkaitan bahan pendidikan dilindungi sepenuhnya.
"Dalam konteks ini, penting untuk kita terus memastikan perlindungan dan kesahihan hak cipta dan intelek bahan pengajaran ini demi manfaat mereka yang terlibat," katanya dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Perbadanan Harta Intelek Malaysia dan KPM di sini.