fb fb fb fb fb

KPM tegaskan komitmen terhadap pendidikan Tamil

FOTO HIASAN / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 November - Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan komitmennya untuk memastikan kelestarian pendidikan Tamil di Malaysia.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dijamin di bawah Akta Pendidikan 1996 dan Dasar Pendidikan Negara, dengan hak ibu bapa untuk memilih aliran sekolah bagi anak mereka dihormati.

"Di SJKT, Bahasa Tamil menjadi bahasa pengantar bagi memudahkan pemahaman konsep dan memperkukuh penguasaan bahasa ibunda, dengan Kurikulum Kebangsaan diguna pakai.

"Pada masa yang sama, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan kekal sebagai mata pelajaran wajib di SJKT supaya anak-anak kita dapat menguasai bahasa kebangsaan,"katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menambah, melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2026-2035, KPM akan menumpukan usaha memperkukuh infrastruktur sekolah, menyediakan kemudahan asas seperti makmal sains, perpustakaan, bilik darjah kondusif dan kemudahan ICT, selain memastikan kurikulum kebangsaan diadaptasi secara relevan di SJKT.

Penguasaan Bahasa Tamil, Melayu dan Inggeris akan dipertingkatkan, manakala guru diberi latihan pembangunan profesional berterusan bagi meningkatkan kualiti pengajaran.

Wong menegaskan pendekatan tersebut adalah untuk memastikan akses pendidikan setara untuk semua murid tanpa mengira latar belakang, sambil mengekalkan identiti bahasa dan budaya mereka, sejajar dengan aspirasi pendidikan nasional dan kerangka Perlembagaan Persekutuan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE