KPM nafi SLU tadika swasta zon utara diadakan di gereja

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 13 Mac – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan dakwaan bahawa sesi Libat Urus (SLU)bersama pihak berkepentingan tadika swasta zon utara yang berlangsung pada Khamis diadakan di sebuah gereja seperti yang tular di media sosial.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua Pengarah menyifatkan dakwaan itu berniat jahat, bertujuan menimbulkan kekeliruan dan memburukkan imej KPM.
  • SLU diadakan di Dewan Sekolah Menengah Antarabangsa Assumption, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
  • Sekolah itu berdaftar sah dengan KPM dan dipilih kerana fasiliti lengkap tersedia.
  • Pemilihan menonjolkan sekolah antarabangsa sebagai institusi pendidikan swasta dan menunjukkan sinergi baik antara KPM dan penyedia swasta.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad menyifatkan dakwaan tersebut berniat jahat, dan cuba menimbulkan kekeliruan serta memburukkan imej Kementerian Pendidikan Malaysia

Beliau menjelaskan Sesi Libat Urus (SLU) Bersama Pemegang Taruh Tadika Swasta Zon Utara itu berlangsung di dewan Sekolah Menengah Antarabangsa Assumption, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan bukannya dalam gereja seperti yang didakwa.

Jelas beliau, Sekolah Antarabangsa berkenaan berdaftar secara sah dengan KPM dan pemilihannya sebagai lokasi SLU dibuat berdasarkan fasiliti lengkap yang tersedia.

“Pemilihan Sekolah Menengah Antarabangsa Assumption adalah berdasar kepada faktor seperti kemudahan dan fasiliti yang tersedia, mengetengahkan sekolah antarabangsa sebagai sebahagian daripada institusi pendidikan swasta yang ada di negara ini serta membuktikan sinergi yang baik di antara KPM dan pihak penyedia pendidikan swasta”, katanya.