fb fb fb fb fb

KPM lulus peruntukan RM9 juta selenggara 160 SJKC berstatus SBK di Sarawak

KUCHING, 27 September - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meluluskan peruntukan kira-kira RM9 juta kepada 160 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) berstatus Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) di Sarawak.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, peruntukan bagi menaik taraf kemudahan sekolah yang lebih selesa dan selamat untuk murid.

Secara keseluruhan, Sarawak mempunyai 190 SJKC berstatus SBK dan hanya 160 sekolah memohon peruntukan berkenaan.

Katanya, peruntukan sudah disalurkan secara berperingkat ke sekolah-sekolah terlibat melalui Jabatan Pendidikan Negeri.

"Harap semua sekolah yang terima peruntukan ini dapat menggunakan dengan optimum untuk memastikan (mengutamakan) keselamatan dan keselesaan murid," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana, Kuching.

lim
(Lawatan kerja rasmi Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying ke SMK Bintulu/FOTO KPM)

Terdahulu, beliau turut melawat beberapa sekolah antaranya SK Chung Hua 5, SK St David Bumbok, SMK Green Road serta SMK Bandar Kuching 1.

Beliau turut menyampaikan peruntukan berjumlah RM670,000 untuk menaik taraf tandas dan penyelenggaraan kemudahan asas sekolah.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai cadangan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk membina makmal kongsi bagi kegunaan sekolah di setiap daerah, Lim berkata, KPM menyokong cadangan tersebut.

Perkara itu akan dibincangkan secara terperinci semasa mesyuarat bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Jumaat ini.

Jelasnya, KPM mengalu-alukan mana-mana kerajaan negeri termasuk Sarawak untuk membantu dalam pendidikan negara.

Media Baharu