fb fb fb fb fb

KPM, KPT saring pelajar cemerlang 10A masuk Matrikulasi

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 1 Julai - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menyaring jumlah pelajar cemerlang 10A yang telah membuat permohonan ke program matrikulasi atau program-program melalui UPUOnline.

KPM menerusi kenyataan hari ini ini berkata pelaksanaan itu bagi membolehkan mereka yang tidak ditawarkan tempat dapat diselaras semula tawaran berdasarkan kepada pilihan program pelajar.

"Tawaran tempat dan jurusan adalah bergantung kepada kelayakan calon dan kekosongan Program Matrikulasi KPM.

"Manakala KPT akan fokus kepada kemasukan program-program asasi dan diploma di Universiti Awam," katanya.

Tambah KPM, ketetapan itu dibuat bagi memastikan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan daripada keluarga B40 mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian.

Jelasnya lagi, pada masa sama sistem kuota bumiputera sedia ada bagi Program Matrikulasi KPM kekal dan tidak terjejas.

"Kerajaan komited memastikan akses pendidikan dapat dipertingkatkan demi manfaat semua pelajar yang merupakan aset masa hadapan negara," jelas kementerian itu.

Pada Majlis Kemuncak dan Penutup Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar mengumumkan semua pelajar cemerlang mendapat keputusan 10A dan ke atas dalam SPM akan mendapat tempat di Matrikulasi.

Langkah itu bertujuan memastikan semua pelajar cemerlang tanpa mengira kaum diberi peluang sama adil dalam mendapat pendidikan lebih tinggi.

BERITA BERKAITAN:

 

 

GRACE AISYAH KEDAYAN