fb fb fb fb fb

KPM keluar arahan penempatan sementara kepada Cikgu Din

Fadhlina Sidek/ BERNAMA

SUNGAI BAKAP, 26 Oktober- Prihatin terhadap nasib yang menimpa seorang guru yang berkhidmat di Sarawak, Izzuddin Izhar atau lebih dikenali sebagai Cikgu Din, Kementerian Pendidikan (KPM) tampil mengeluarkan arahan penempatan sementara kepada beliau.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata arahan itu dikeluarkan hasil kerjasama KPM dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan Kelantan bagi membolehkan beliau menjaga isterinya yang menghidap kanser tahap empat.

"Kita akan uruskan sebaik-baiknya. Insya-Allah kita akan bagi ruang untuk dia untuk bersama-sama dengan isterinya melalui arahan penempatan sementara. Ia bertujuan untuk memastikan dia dapat bersama-sama dengan isterinya dalam tempoh yang amat memerlukan ini.

"Alhamdulillah kerana pertamanya proses ini sudah dibincangkan dengan Cikgu Din penglibatan kedua-dua JPN Sarawak dan Kelantan begitu juga dengan KPM berjalan sangat baik. Insya-Allah kita sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Cikgu Din," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Peluncuran Karnival Pendidikan MADANI Dan Program KV Insani Masyarakat MADANI di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap.

Dalam pada itu beliau memaklumkan KPM sentiasa prihatin dengan perkara berbangkit dan menafikan dakwaan berkenaan kementerian itu hanya mengambil tindakan selepas kisah guru berkenaan tular di media sosial.

Sebelum ini, tular di media sosial berkenaan permohonan Cikgu Din berkenaan KPM tidak meluluskan permohonannya tuntuk berpindah supaya dapat bersama-sama isterinya, atas dasar tempoh perkhidmatannya belum mencecah tiga tahun.

Dalam perkembangan lain KPM akan terus memperhebat advokasi berkaitan gangguan seksual di institusi pendidikan meliputi garis panduan pelaksanaannya bagi menggalakkan mangsa berani tampil membuat aduan.

Fadhlina menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam menangani isu gangguan seksual melibatkan pelajar sekolah bagi memastikan institusi itu selamat buat pelajar dalam menerima pendidikan.

"Jadi saya tegaskan sekali lagi bahawa KPM telah mengeluarkan garis panduan bagi menangani isu gangguan seksual di institusi pendidikan. Kita minta untuk semua pihak mengambil tanggungjawab penuh terhadap garis panduan tersebut.

"Kita juga minta untuk dari segi pihak sekolah untuk memastikan dari segi keselamatan aduan itu benar-benar ditangani dan berintegriti. Jadi tidak perlu takut untuk tampil dan melakukan proses aduan itu," katanya.

Pihak sekolah juga digesa untuk memastikan semua aduan dibuat oleh pelajar ditangani dengan integriti sekali gus memberi kepercayaan pelajar dan ibu bapa terhadap keselamatan di sekolah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI