fb fb fb fb fb

KPKT komited perkukuh agenda ekonomi kitaran negara

DUBAI, 27 Mac - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited dalam memperkukuh agenda ekonomi kitaran negara selaras dengan matlamat Malaysia sebagai sebuah negara berdaya huni.

Menterinya, Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican menyatakan, KPKT sedang berusaha ke arah penubuhan Majlis Ekonomi Kitaran Negara agar agenda tersebut dapat dilaksanakan secara menyeluruh serta memberi manfaat kepada negara.

"Kami akan memimpin ke arah pembentukan Majlis Ekonomi Kitaran Negara yang akan menjadi peneraju kepada segala perkara yang memerlukan sama ada inisiatif dari segi pelaksanaan dasar-dasar tertentu yang bersifat rentas.

 (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican)

"Ini agar pada akhirnya dasar ekonomi kitaran yang sememangnya menjadi agenda utama dalam kita memenuhi, satunya Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), kita punya komitmen kepada United Nation, keduanya, Paris Agreement dan juga perubahan iklim. Ini semua ada kaitan dalam pengurusan ekonomi kitaran", katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Minggu Ekonomi Kitaran yang merupakan tema minggu terakhir Ekspo 2020 Dubai yang berlangsung dari 27 hingga 31 Mac 2022 di Astaka Malaysia, Dubai.

Datuk Sri Reezal berkata, expo seperti ini dapat memberi pendedahan dan meningkatkan peluang kerjasama Malaysia dengan pelbagai negara peserta serta pemain industri dalam bidang ekonomi kitaran.

Beliau memaklumkan bahawa ketika ini kerajaan telah memulakan inisiatif sisa kepada tenaga bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap tapak pelupusan sampah, selain meningkatkan keyakinan pelabur asing dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan ekonomi kitaran.

Media Baharu