KUALA LUMPUR, 14 Mei- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dijangka akan membentangkan Akta Pembangunan Hartanah di parlimen, tahun depan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, akta baharu itu bagi melindungi kepentingan pembeli dan prospek pemaju dengan lebih komprehensif dan telus.
"Sejak tahun 1966 Akta Pemajuan Perumahan hanya merangkumi sektor perumahan. Bangunan-bangunan seperti kedai, pusat beli-belah, Pejabat Kecil Pejabat Rumah (SoHo) dan macam-macam tidak dirangkumi dalam akta.
"Jadi ada salah guna menyebabkan kepentingan pembeli tidak terlindung," katanya dalam Sidang Media Majlis Pelancaran Penyiapan Projek TRX Residences di ibu negara.
Nga turut menyatakan TRX Residences memperoleh nilai pembangunan berjumlah RM6.7 bilion dan ia membantu dalam menjana ekonomi tempatan serta mewujudkan peluang pekerjaan.
Pembeli perumahan itu bukan sahaja terdiri daripada pembeli tempatan malah melibatkan lebih 25 negara meliputi Dubai, China, Hong Kong, Singapura dan Taiwan.