GURUN, 26 Jun- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengimport bekalan ayam dari luar negara sekiranya bekalan tersebut tidak mencukupi bagi menampung keperluan dalam negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah membawa masuk dan menambah jumlah import bekalan itu dilihat perlu bagi mengimbangi harga.
Perkara itu bagi memastikan pengguna mendapat bekalan ayam pada harga yang berpatutan.
"Kalau kita nak menyeimbangi harga, sememangnya penternak inginkan harga yang tinggi untuk dijual, manakala pengguna ingin harga yang murah.
"Kita jamin bekalan ayam cukup dan harganya tidak naik melambung. Kita tampung bekalan dengan mengimport ayam dari luar dan sekiranya kita mempunyai lebihan ayam, kita akan eksport," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) di sini.
Kerajaan sebelum ini memberi kebenaran untuk mengimport ayam bulat sejuk beku dari luar negara bagi menampung kekurangan bekalan ayam di pasaran tempatan, selain sekatan eksport ayam dan pemansuhan permit import (AP) pada Jun tahun lalu.
Kekurangan bekalan ayam di pasaran tempatan dipercayai berpunca apabila penternak tempatan mengurangkan pengeluaran bagi mengelak kerugian akibat peningkatan kos operasi berikutan peningkatan ketara harga makanan ayam.
(Mohamad Sabu)