KUALA LUMPUR, 24 Oktober - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tidak menafikan terdapat premis seperti kedai runcit dan pasar raya, tidak memperoleh bekalan beras putih tempatan.
Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, KPKM sentiasa memberi perhatian terhadap isu tersebut dan buktinya, dari Jun 2023 hingga 19 September 2024, sebanyak enam juta kampit beras putih tempatan 10 kilogram telah diedarkan di seluruh negara.
Menurut beliau, dalam usaha menangani isu keberadaan beras putih tempatan di pasaran, KPKM kini giat melaksanakan rombakan strategi melalui pelaksanaan reformasi industri padi dan beras.
"Antara langkah yang diambil dalam pelaksanaan reformasi ini seperti pemantapan tata kelola melalui pengasingan kuasa melibatkan Bahagian Pembangunan Industri Padi (PIP), Kawalselia Padi Beras (KPB) dan wakil kerajaan dalam Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).
"Kedua, mewujudkan peraturan baharu larangan percampuran beras putih tempatan dengan beras putih import. Ketiga, penggabungan penguatkuasa di bawah KPKM bagi memperkukuh kawal selia sektor agromakanan. Keempat, reformasi pentadbiran Lembaga Pertubuhan Peladang dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS)," katanya.
Beliau menjawab isu kekurangan beras putih tempatan di pasaran yang dibangkitkan Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini.
Joseph juga memaklumkan bahawa kementerian berharap segala usaha mereformasikan sektor padi dan beras, akan mendapat sokongan dari semua pihak demi kebaikan serta masa depan industri padi dan beras negara.