fb fb fb fb fb

KPDN rangka gerakan massa memerangi penyelewengan barang subsidi

Datuk Armizan Mohd Ali

KINABATANGAN, 28 Julai- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang merangka satu gerakan massa melibatkan orang ramai dalam memerangi penyelewengan barang kawalan bersubsidi khususnya diesel dan RON95 di Sabah dan Sarawak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, gerakan lima komponen itu bagi membantu penguatkuasaan dalam memerangi ketirisan subsidi melalui pemantauan dan penyaluran maklumat.

"Gerakan ini akan melibatkan rakyat dan orang ramai, dalam khususnya dalam membuat pelaporan dan pemantauan, yang kedua fokus gerakan ini.

"Kita tumpukan kepada ketirisan subsidi bahan api diesel dan juga RON95, yang ketiga akan dimulakan di Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas merasmikamn Stesen Minyak Petronas Bukit Garam di sini.

Sementara itu, kerajaan memutuskan untuk meneruskan kaedah sedia ada penyaluran subsidi pukal diesel di peringkat runcit di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi tahun ini melibatkan subsidi mencecah RM3.6 bilion.

Antara faktor utama pengecualian itu ialah kebergantungan tinggi para pengguna khususnya di Sabah dan Sarawak kepada penggunaan kenderaan bahan api diesel disebabkan faktor geografi dan taraf jalan perhubungan darat dan air.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI