
KUALA LUMPUR, 10 Februari – Penyelarasan lebih erat antara agensi kerajaan perlu dilakukan bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap kecenderungan amalan perniagaan yang berpotensi bertentangan dengan persaingan dalam kalangan agensi pelancongan dalam talian atau online travel agencies (OTAs).
- Penyelarasan erat antara MyCC, MOTAC dan MCMC untuk memperkukuh penguatkuasaan terhadap amalan OTAs.
- Kajian Market Review mengenal pasti klausa pariti harga dan yuran komisen tinggi dalam kalangan OTAs.
- Cadangan penubuhan Central Digital Economy Task Force untuk tutup jurang kawal selia dan perundangan.
- Perlunya pemantauan rentas agensi, perkongsian data dan libat urus bagi melindungi pengguna serta PKS tempatan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata kerjasama melibatkan Suruhajaya Persaingan Malaysia (MyCC), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu diperkemas bagi meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan terhadap sektor berkenaan.
Menurutnya, hasil semakan pasaran mendapati wujud kenecenderungan amalan perniagaan yang bercanggah dengan Akta Persaingan 2010 (Akta 712) dalam kalangan OTAs, selari dengan trend yang turut dikesan oleh pihak berkuasa persaingan di beberapa negara lain seperti Hong Kong, Jepun dan China.
“Keadaan ini memerlukan siasatan bersama merentas agensi yang diterajui MyCC, khususnya berkaitan isu pariti harga dan struktur yuran komisen,” katanya pada sidang media pelancaran Kajian Pasaran Ekosistem Ekonomi Digital di bawah Akta Persaingan 2010 yang dijalankan oleh MyCC, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi MyCC, Tan Sri Datuk Sri Idrus Harun.
Datuk Armizan berkata amalan tersebut bukan sahaja membebankan hotel dan ejen pelancongan malah berpotensi menjejaskan pengguna daripada memperoleh tawaran lebih baik, sekali gus mempercepatkan perkembangan industri pelancongan tempatan.
Sementara itu, Datuk Armizan berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah menyiapkan kajian semakan pasaran berhubung ekosistem ekonomi digital berasaskan Akta Persaingan 2010.
Kajian yang dilaksanakan selama 18 bulan itu kini berada di peringkat akhir sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Menurut beliau, kajian berkenaan mengemukakan 18 syor, termasuk tiga cadangan utama selain isu platform ejen pelancongan dalam talian (OTAs) yang memerlukan tindakan segera kerajaan.
Antaranya penubuhan Central Digital Economy Task Force bagi menangani jurang kawal selia dan kelompongan perundangan, di samping memperkukuh pemantauan serta penguatkuasaan rentas kementerian dan agensi berkaitan.
Tambahnya, dapatan Market Review Ekosistem Ekonomi Digital itu turut mengenal pasti kecenderungan amalan anti-persaingan dalam kalangan pemain OTAs, termasuk pelaksanaan klausa pariti harga serta struktur penetapan bayaran komisen yang tinggi.
Beliau menjelaskan, klausa pariti harga berkenaan mengehadkan keupayaan hotel dan ejen pelancongan untuk menawarkan kadar lebih kompetitif melalui saluran alternatif, sekali gus mengikat mereka kepada terma yang ditetapkan oleh OTAs.
“Akibatnya, pengguna terpaksa membayar harga lebih mahal dan berdepan kesukaran untuk mendapatkan tawaran terbaik di platform lain,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerjasama rentas agensi antara MyCC, MCMC dan MOTAC perlu diperkukuh, khususnya dalam aspek penguatkuasaan, pemantauan amalan perniagaan OTAs, perkongsian data industri serta libat urus bersama pihak berkepentingan.
Menurutnya, penyelarasan penguatkuasaan berkenaan penting bagi memastikan persaingan yang sihat dalam ekosistem ekonomi digital.
Di samping melindungi kepentingan pengguna serta pemain industri tempatan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang bergantung kepada platform digital.
Sementara itu, Data Kutipan Cukai Perkhidmatan ke atas Perkhidmatan Digital (SToDS) mencatatkan peningkatan yang ketara kepada RM1.62 bilion pada 2024 berbanding RM802 juta pada 2021, sekali gus mencerminkan pertumbuhan pesat ekonomi digital serta keberkesanan pelaksanaan mekanisme percukaian sedia ada.
Bagaimanapun, kajian berkenaan turut menganggarkan masih wujud jurang potensi sumbangan cukai tahunan yang signifikan, susulan perbezaan kadar percukaian antara platform digital dan perniagaan tempatan, yang memerlukan penelitian lanjut bagi memastikan kesaksamaan serta keadilan dalam sistem percukaian negara.