fb fb fb fb fb

KPDN nafi dakwaan subsidi diesel dihapuskan mulai Januari

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 13 Disember-  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan dakwaan di media sosial bahawa subsidi diesel akan dihapuskan bagi penggunaan kenderaan bermula 1 Januari depan.

KPDN dalam kenyataan menegaskan dakwaan itu adalah tidak benar dan sebaliknya kementerian itu sedang melaksanakan projek rintis bagi melihat keberkesanan sistem fleet card dan Sistem MySubsidi Diesel, melibatkan enam syarikat yang menerima kuota bagi skid tank, yang akan tamat tempoh pada 14 Januari depan.

Kenyataan itu menyebut, projek rintis berkenaan sama sekali tidak melibatkan pengguna kenderaan diesel individu.

“Proses pengujian ini perlu dilaksanakan bagi melihat kecekapan sistem yang dibangunkan, agar ia benar-benar menepati spesifikasi dan matlamat penyasaran semula subsidi diesel, seperti mana yang dirancang.

“KPDN berharap agar tidak ada mana-mana pihak menghebahkan sesuatu perkara yang tidak jelas dan boleh mengelirukan orang ramai,” menurut kenyataan itu.

KPDN juga memaklumkan, sebarang pengumuman rasmi berhubung mekanisme pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel akan dibuat kementerian itu dan Kementerian Kewangan, setelah sesi libat urus dan jalanan ujian sistem fleet card dan Sistem MySubsidi Diesel, selesai dilaksanakan.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI