KULAI, 17 Disember- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menerima lebih 10,000 aduan membabitkan kes penipuan perniagaan secara dalam talian, sepanjang tahun ini.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, kes tersebut merupakan antara aduan paling tinggi diterima, berikutan pertambahan penggunaan teknologi dalam kalangan masyarakat.
"Untuk kes dalam talian, salah satu contoh adalah barang yang diiklankan itu tidak sama dengan barang sebenarnya yang dia dapat, jadi maknanya ia mengelirukan itu.
"Yang kedua barangnya tidak berkualiti baru pakai kadang dah rosak dan yang ketiga bila kadang-kadang pengguna tidak mendapat respon daripada peniaga dalam talian, maknanya peniaga senyap dan sebaginya," katanya.
Pengguna dinasihatkan membuat aduan dan memfailkan kes di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, tertakluk hanya untuk penggunaan bukan bagi tujuan komersial ataupun dijual semula.
Sehingga kini, KPDN Johor sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan perkara sebegini daripada berleluasa.
Lilis Saslinda berkata demikian semasa Program Pelupusan Ekshibit KPDN Johor di Kompleks Penyimpanan Ekshibit Senai, Kulai, Johor.