fb fb fb fb fb

KPDN fokus enam agenda perkukuh penguatkuasaan, banteras penyeludupan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali

PADANG BESAR, 20 Januari - Penguatkuasaan akan terus diperkukuh bagi membanteras penyeludupan dan ketirisan barangan kawalan bersubsidi di sempadan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata untuk itu, pihaknya telah menyasarkan enam agenda yang menjadi fokus utama kementerian.

Beliau berkata enam langkah tersebut ialah meneruskan OP TIRIS 3.0, memperkukuh kerjasama antara agensi penguat kuasa sempadan dan menempatkan pegawai penguat kuasa KPDN di tujuh lokasi pintu masuk negara.

Selain, menambah baik prosedur Operasi Standard (SOP) penyerahan kes dari agensi lain.

Pada masa sama katanya melaksana pemantauan di premis perniagaan di sempadan serta pengauditan pemborong diesel, pemegang permit barang kawalan dan syarikat pengekspot.

"Jadi, enam langkah ini akan dilaksanakan oleh KPDN serta merta selain daripada kita tengah mengumpulkan maklumat operasi sedia ada untuk kita menambah baik dan mengemukakn cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya bagi pelaksanaan agensi tunggal kawalan sempadan kelak dan begitu juga persiapan kita untuk menghadapi pelaksanaan penyasaran semula subsidi yang akan diumumkan oleh agensi pusat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Komplek Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini.

Mengulas mengenai penempatan pegawainya di tujuh lokasi pintu masuk negara, Armizan berkata ia akan dilaksana serta merta secara berkala membabitkan empat negeri iaitu Perlis, Kedah Perak dan Kelantan.

"Kita akan bincang dulu dengan KDN termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)  sebab Imigresen merupakan agensi utama sebab kita kena tanya dari segi penempatan dimana pegawai kita akan bertugas. Keduanya, KPDN ini tanggungjawabnya cukup besar tapi kita masih menghadapi kekangan dari segi sumber tenaga kerja kita, penguat kuasa kita hanya ada berjumlah 2,200 orang sahaja untuk tugas yang cukup besar," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN