fb fb fb fb fb

Kotor dan jijik, premis makanan diarah tutup

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan

IPOH, 22 Jun - Sebuah premis makanan 24 jam, di sini diarah untuk menutup operasinya selama dua minggu kerana beroperasi dalam keadaan kotor dan menjijikkan.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata premis berkenaan diperintahkan tutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Beliau berkata, kesalahan tersebut dikesan menerusi Operasi Khas Penguatkuasaan Di Premis Makanan Bagi Kesalahan Akta Makanan 1983 Dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang dijalankan pada Jumaat.

"Saya hendak beri amaran kepada pengusaha-pengusaha premis makanan 24 jam ini, kita akan buat pemeriksaan mengejut, pegawai-pegawai ini akan keluar selepas waktu bekerja bersama-sama dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk kumpul semua data ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Operasi Khas Penguatkuasaan Di Premis Makanan di sekitar Station 18, di sini.

Tambah Sivanesan, menerusi operasi khas tersebut, 359 premis telah diperiksa manakala 316 notis kesalahan telah dikeluarkan dibawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dengan nilai kompaun lebih RM40,000.

Selain itu, sebanyak 81 notis kesalahan merokok turut dikeluarkan di kawasan premis makanan, mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

"Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 5,443 premis makanan diperiksa dan 1,330 notis kesalahan telah dikeluarkan kepada pengendali makanan kerana tidak mematuhi kehendak-kehendak dibawah PPKM 2009 dengan nilai kompaun lebih RM200,000," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN