
IPOH, 19 Mac – Keputusan Lembaga Tabung Haji (TH) mengekalkan kos menunaikan ibadah haji pada kadar RM33,300 bagi musim 1447 Hijrah/2026 Masihi disambut baik masyarakat.
- Masyarakat lega kerana kos haji dikekalkan walaupun tekanan kenaikan kos hidup.
- Pengekalan selama tiga tahun berturut-turut memberi peluang lebih ramai umat Islam menunaikan haji.
- Kos dapat dikawal menerusi perjanjian dengan syarikat penerbangan; penerbangan bermula 18 April dan semakan semula jika perubahan ketara.
Tinjauan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sekitar Ipoh mendapati orang ramai menzahirkan rasa lega susulan tiada kenaikan kos untuk menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini.
Seorang pekerja swasta, Syaiful Ali Supia berkata keputusan tersebut memberi kelegaan kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan B40, M40 dan T20.
“Kalau mengikut keseluruhannya, semua golongan rasa bersyukur sebab kos ini dikekalkan walaupun keadaan sekarang menunjukkan kos sepatutnya meningkat,” katanya.
Seorang lagi pekerja swasta, Ashahuddin Amin Aminudin berkata pengekalan kos itu untuk tiga tahun berturut-turut memberi peluang kepada lebih ramai umat Islam menunaikan haji.
“Tiga tahun berturut-turut kekal pada kadar yang masih boleh ditanggung, jadi orang biasa masih boleh menunaikan impian ke Mekah,” katanya.
Sementara itu, peniaga, Ismed Junaidi menyifatkan langkah tersebut sebagai wajar memandangkan keadaan ekonomi semasa yang mencabar.
“Ekonomi sekarang kurang baik, jadi bila kos tak naik, ia membantu dan masih boleh ditanggung,” katanya.
Semalam, Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan kos menunaikan ibadah haji bagi musim 1447 Hijrah/2026 Masihi kekal pada kadar RM33,300.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira peningkatan harga bahan api, namun kos tersebut masih dapat dikawal menerusi perjanjian bersama syarikat penerbangan terlibat.
Penerbangan pertama jemaah dijadualkan bermula 18 April ini, manakala kos bagi musim akan datang akan disemak semula sekiranya berlaku perubahan ketara termasuk kesan konflik di Asia Barat.