BATU PAHAT, 23 Mac- Enam warga Singapura terlibat kemalangan jalan raya di Johor, awal pagi tadi, dengan dua daripadanya maut, manakala empat lagi parah selepas dirempuh sebuah lori.
Kejadian berlaku di Kilometer 114 Lebuh raya Utara Selatan di Yong Peng-Pagoh, Batu Pahat pada pukul 3.00 pagi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, konvoi berkenaan melibatkan sebanyak tujuh buah motosikal yang dalam perjalanan ke Muar untuk bersahur.
Kejadian berlaku apabila tayar salah sebuah motosikal mangsa pancit dan mereka berhenti di laluan kecemasan berhampiran kawasan Hentian Rehat & Rawat (R&R) Yong Peng untuk membaikinya.
Bagaimanapun, sebuah lori yang melalui jalan itu hilang kawalan sebelum memasuki lorong kecemasan dan melanggar kumpulan tersebut.
Dua mangsa berusia 26 tahun maut di tempat kejadian, manakala empat yang parah sedang dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar.
Pemandu lori, 33, ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan.