KOTA KINABALU, 22 Mac - Konvoi Jelajah Ramadan Radio RTM Sabah akan melalui di beberapa daerah negeri itu sejauh 1,183 kilometer bagi bertemu dan memberi bantuan terhadap golongan memerlukan mulai 25 hingga 27 Mac depan.
Pengarah Penyiaran Sabah Salmah Hashim dalam satu kenyataan berkata, kira-kira 500 golongan memerlukan terdiri daripada asnaf, anak yatim, warga emas dan ibu tunggal akan menerima sumbangan yang disampaikan sepanjang konvoi berkenaan.
"Jelajah Ramadan yang merupakan program tonggak saluran radio RTM yang memasuki edisi ke-12 telah diiktiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai Program Tanggungjawab Sosial Korporat Terpanjang Di Malaysia meliputi pelaksaan 38 aktiviti di seluruh negara.
“Konvoi seramai 26 peserta ini turut disertai penyampai stesen radio SABAHfm, SABAHVfm, KENINGAUfm, TAWAUfm dan SANDAKANfm, selain pihak pengurusan RTM Sabah," katanya.
Sebelum ini, Salmah berkata Jelajah Ramadan peringkat ibu pejabat telah dilancarkan di Kuala Berang, Terengganu pada 10 Mac lepas melibatkan penyertaan 34 stesen radio RTM seluruh negara dan dijangka berakhir di Johor pada 30 Mac ini.
Beliau berkata hari pertama konvoi akan singgah di dua lokasi iaitu Madrasah Darul Hadis Sabah di Putatan dan Rumah Warga Tua Sri Prichard, Kinarut seterusnya menyerahkan sumbangan daripada rakan strategik, sebelum konvoi meneruskan jelajah ke Keningau.
"Di Keningau, Jelajah Ramadan diteruskan dengan aktiviti memasak dan mengagihkan bubur Kodop di beberapa lokasi terpilih termasuk di Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau dan Pejabat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.
"Pada sebelah petang, diadakan majlis berbuka puasa dan penyerahan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik di Masjid Al-Dzilal, Kampung Bayangan," katanya.
Menurut Salmah aktiviti Jelajah Ramadan di Tawau akan diadakan pada 26 Mac di Masjid Nurul Hikmah, Kampung Blok 31, Balung dan kemudian pergerakan diteruskan ke Sandakan pada 27 Mac sekali gus menjadi lokasi penutupan dan acara kemuncak program berkenaan.
Pelbagai pengisian telah disusun atur di Sandakan, katanya antaranya majlis penutupan dan penyerahan sumbangan kepada golongan asnaf, memasak bubur lambuk serta pengagihan pek berbuka secara pandu lalu kepada penduduk sekitar Masjid Daerah Sandakan.