KUCHING, 21 Julai- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menasihatkan kontraktor yang menerima projek kerajaan untuk melaksanakan tangungjawab yang diamanahkan dengan baik.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air berkata, kontraktor juga perlu menandatangan ikrar bagi memastikan projek berkenaan siap dalam tempoh yang telah dijadualkan serta mengikut spesifikasi, standard dan bajet ditetapkan.
"Kalau saya selalu turun padang bermakna projek itu bermasalah, jadi jaga-jagalah kontraktor itu, kalau bagus kita sokong sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Lembaga Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak (Pakej Tiga), Rancangan Tembatan Banjir di Sungai Gersik dan Sungai Sinjan serta mendalamkan dan melebarkan Sungai Minjap di Matang di sini.
Fadillah berkata untuk pelaksanaan ketiga-tiga pakej itu, Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) telah meluluskan RM191 juta dan keseluruhan projek dijangka siap sepenuhnya menjelang Mei 2026.
"Kerajaan Persekutuan yakin apabila keseluruhan projek PLSB Sungai Sarawak yang melibatkan tiga pakej ini siap, ia akan dapat mengatasi masalah banjir kilat di kawasan sekitar bandar raya Kuching. Projek ini akan memberi manfaat kepada lebih 20,000 penduduk sekitar dan dianggarkan seluas 117 hektar akan dapat dilindungi daripada risiko banjir," katanya.