fb fb fb fb fb

"Konsert Ed Sheeren, masih boleh diteruskan" - Fahmi

Selebriti antarabangsa, Ed Sheeran

PUTRAJAYA, 31 Januari- Penganjuran konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran yang akan berlangsung pada 24 Februari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil masih boleh diteruskan.

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, beliau sudah merujuk perkara itu dengan Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL).

"Sudah pasti saringan yang teliti telah dibuat oleh semua agensi ini. Saya mohon supaya kita ikut proses sedia ada, namun kita tetap ambil maklum tentang sebarang pandangan."

"Insya-Allah, kita akan teliti sekiranya perlu diambil tindakan. Buat masa ini, belum ada apa-apa perubahan terhadap kelulusan yang diberikan sebelum ini," kata Fahmi kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan pemberita berhubung pandangan Mufti Pulau Pinang berhubung penganjuran konsert Ed Sheeran.

Terdahulu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor memohon supaya kementerian berkenaan menghormati pandangan mufti yang menyatakan hukum syarak sebelum menganjurkan acara hiburan.

Teguran itu termasuk larangan terhadap aktiviti golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang tidak menjadi ijtihad ulama tetapi berdasarkan nusus syar'iyyah yang disebut dengan jelas di dalam al-Quran dan hadis.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM