
ALOR SETAR, 2 Mac – Penganjuran Konsert Amal “Restarting Light · Together for Sight” berjaya mengumpul RM1.6 juta bagi melaksanakan Projek Bas Klinik Mata Bergerak.
- Konsert Amal “Restarting Light · Together for Sight” berjaya mengumpul dana untuk Projek Bas Klinik Mata Bergerak.
- Projek mendapat kerjasama Hospital Sultanah Bahiyah, Yayasan Sultanah Bahiyah, dan National Kidney Foundation Malaysia.
- Kira-kira 10,000–12,000 pesakit dijangka manfaat; B40 terima pembedahan katarak, implan kanta, dan cermin mata percuma.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Dr Cheng Joo An memaklumkan, sumbangan berupa wang tunai, perkhidmatan perubatan dan tajaan barangan itu bertujuan mengurangkan kes cacat penglihatan atau buta dalam kalangan komuniti luar bandar dan berpendapatan rendah, khususnya di kawasan utara.
“Projek turut mendapat kerjasama tiga rakan strategik utama, masing-masing, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB), dan National Kidney Foundation Malaysia, (NKF).
“Kira-kira 10,000 hingga 12,000 pesakit dijangka memperoleh manfaat, apabila projek dijangka mula beroperasi seawal pertengahan tahun depan.
“Pesakit dalam kalangan B40 juga akan menerima pembedahan katarak dan implan kanta intraokular secara percuma,” katanya.
Selain itu, beberapa syarikat optik memberi komitmen untuk menaja kira-kira 6,000 cermin mata preskripsi percuma setiap tahun kepada keluarga B40.