(PPR Jalan Sungai)
GEORGE TOWN, 2 Ogos- Pelbagai aspek keselamatan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai, Sungai Pinang di sini dinaik taraf termasuk penambahan pagar dan jaring balkoni lebih tinggi, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta kawalan 24 jam daripada pengawal keselamatan.
Penyandang yang juga calon N.30 Sungai Pinang, Lim Siew Khim berkata, kerajaan negeri mengaplikasikan konsep Gender Responsive And Participatory Budgeting (GRPB) dalam pengurusan PPR tersebut.
Menerusi konsep GRPB itu, segala keputusan berkenaan perumahan tersebut berdasarkan kehendak penduduk, selain bagi mewujudkan 'rasa kepunyaan' dalam diri mereka.
"Saya bangga kerana penduduk di sini berdisplin. Kerajaan negeri mengimplimentasikan konsep GRPB. Kita tanya dan selidik apa kehendak yang penduduk mahukan di kawasan perumahan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di sini
Penduduk di kawasan itu turut mengakui berlaku banyak perubahan besar sejak 10 tahun kebelakangan ini.
"Dibuat satu 'group' (WhatsApp), dalam itu ada yang berhormat (Siew Khim) dengan jawatankuasa terlibat. Jika lif ada masalah ke apa ke, kira tidak ambil masa lama. Kita hanya buat panggilan sahaja, mereka yang bertanggungjawab akan sampai," kata Shakila Bee, penduduk.
"Banyak perubahan dekat sini. Sebelum ini, ada kes sampah dibuang suka hati dan tiada keselamatan, banyak gejala sosial. Selepas 10 tahun sudah ada perubahan," kata Norjan Ibrahim, penduduk.
PPR dengan bayaran sewa bulanan hanya RM100 sebulan itu mempunyai dua blok dan didiami lebih 525 keluarga.
(Lim Siew Khim (dua kanan) bersama beberapa penduduk PPR Jalan Sungai melakukan
kempen PRU DUN Ke-15)