KUALA LUMPUR, 15 Disember- Kongres Nasional Khas KEADILAN 2024, meluluskan kesemua pindaan penting perlembagaan parti termasuk menambah jumlah perwakilan yang akan mengundi untuk enam jawatan tertinggi dan 20 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP), serta menetapkan kuota gender dan etnik demi memastikan parti KEADILAN lebih inklusif.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata pindaan berkenaan mendapat sokongan penuh lebih dua pertiga perwakilan.
"Langkah ini penting untuk kita terus memperkukuh proses pemilihan parti dan memperkuatkan prinsip demokrasi dalam KEADILAN.
"Presiden juga dalam ucapan penangguhan tadi mengingatkan kita tentang cabaran perjuangan, khususnya untuk pemimpin muda yang perlu matang dalam melaksanakan amanah," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Pada masa sama parti berkenaan juga terus membela rakyat dengan fokus dan berani.
Beliau menyifatkan pindaan berkenaan bukan sekadar perubahan di atas kertas, tapi satu langkah besar untuk mempersiapkan parti itu terus releven menuju masa depan lebih progresif.
Dalam pada itu menerusi satu kenyataan media yang diedarkan selepas kongres khas berkenaan, beliau turut memaklumkan, tarikh baharu bagi Kongres Nasional PKR 2024 dan 2025 bakal diumumkan selepas MPP membuat keputusan dalam mesyuarat terdekat.
Kongres khas yang dilaksanakan secara hibrid itu turut dihadiri Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim
Ia mengambil kira penyertaan daripada dalam kalangan perwakilan dari negeri terkesan banjir.