KUALA LUMPUR, 2 November- Konflik di antara Palestin dan Israel tidak akan menjejaskan persiapan haji bagi tahun hadapan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Naim Mokhtar berkata, pihak Lembaga Tabung Haji tetap melakukan persiapan seperti biasa.
"Seramai 31,600 jemaah haji, insya-Allah akan berangkat menunaikan haji, itu persediaan yang dibuat, ini jaminan kita, tapi dalam masa yang sama kita tertakluklah kepada panduan nasihat daripada Kementerian Luar Negeri dan juga Kementerian Haji Saudi. Jadi mereka ini akan menentukan dan apa sahaja arahan dan panduan serta nasihat yang diberikan oleh Kementerian Luar Negeri dan juga kementerian haji ini akan dipatuhi oleh Tabung Haji insya-Allah, tetapi dari sudut persediaan memang kita sepenuhnya", katanya.
Beliau berkata, keselamatan jemaah haji tetap menjadi keutamaan.
Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Penghargaan TH kepada Jemaah Haji 144H/2023M di Menara TH Tun Razak, ibu negara.
Sementara itu, beliau turut menolak sebarang kemungkinan berlaku pengurangan kuota jemaah haji disebabkan konflik tersebut.
Ujarnya, Tabung Haji sudah memohon kuota tambahan dari kerajaan Arab Saudi dan masih menunggu jawapan.