fb fb fb fb fb

Konflik Kemboja-Thailand: ASEAN utamakan penyelesaian demi keamanan serantau

Pertikaian itu bukan sahaja menjejaskan kedua-dua negara terlibat, malah turut menjadi ujian terhadap kredibiliti ASEAN

KUALA LUMPUR, 22 Disember - ASEAN perlu mengambil segala langkah yang wajar bagi memastikan konflik antara Kemboja dan Thailand ditamatkan demi keamanan dan kestabilan serantau.

Menurut Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, pertikaian itu bukan sahaja menjejaskan kedua-dua negara terlibat, malah turut menjadi ujian terhadap kredibiliti ASEAN sebagai salah satu organisasi serantau paling aman dan berjaya di dunia.

"Situasi berkenaan boleh menjejaskan reputasi ASEAN sebagai antara organisasi serantau dan paling stabil serta berjaya di peringkat antarabangsa. Dalam persekitaran serantau dan global yang saling berkait rapat, sebarang ketidaktentuan keselamatan memberi implikasi melangkaui sempadan negara.

"Ia sekali gus menuntut semua pihak mengutamakan penghentian konflik dan penyelesaian secara aman," katanya dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN, yang diadakan berhubung situasi semasa Kemboja dan Thailand. 

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini terus memainkan peranan aktif menerusi libat urus diplomatik bagi meredakan ketegangan dan menggalakkan dialog antara kedua-dua pihak.

Tambahnya lagi matlamat ASEAN bukan sekadar meredakan ketegangan, ia turut merangkumi usaha membina kepercayaan, memperkukuh dialog dan memastikan kestabilan jangka panjang di rantau ini.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN