Konflik Asia Barat: Rakyat sambut baik tindakan kerajaan

Sekumpulan rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di beberapa lokasi termasuk Arab Saudi, Syria, Jordan dan Qatar selamat pulang ke tanah air dalam Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Mac– Keselamatan serantau dan kestabilan ekonomi global menjadi perkara paling dibimbangi ketika konflik di Asia Barat yang semakin memuncak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rakyat memuji tindakan pantas kerajaan dan Perdana Menteri dalam Operasi Evakuasi Zon Konflik, memastikan rakyat Malaysia yang terkandas pulang dengan selamat.
  • Cadangan kerja dari rumah disambut baik tetapi perlu diperhalusi terutama bagi sektor yang memerlukan kehadiran fizikal seperti JPJ dan imigresen.
  • Konflik menjejaskan ekonomi melalui kenaikan harga minyak yang meningkatkan kos sara hidup, rakyat dinasihatkan berjimat cermat dan bijak mengurus kewangan.

Ini termasuk Malaysia yang kini sedang bersedia menghadapi situasi tersebut, dengan melaksanakan langkah-langkah proaktif bagi mengawal kesan negatif konflik.

Bagi rakyat Malaysia, tindakan pantas kerajaan dalam menangani isu ini wajar diberi pujian, khususnya menerusi Operasi Evakuasi Zon Konflik di Asia Barat, bertujuan memastikan rakyat Malaysia pulang dengan selamat.

Herleeah Pahlavy, seorang pekerja swasta, meluahkan rasa syukur dan kegembiraannya atas komitmen kerajaan dalam membawa pulang rakyat Malaysia yang terperangkap di Asia Barat.

“Saya sangat gembira kerana melihat ramai yang terkandas akhirnya selamat sampai. Saya ingin memuji tindakan cepat kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang bertindak pantas untuk menyelesaikan masalah ini. Saya amat bersyukur dan gembira dengan langkah yang diambil,” katanya.

Sementara itu, seorang penjawat awam, Jaspal Singh berkata beliau menyambut baik cadangan melaksanakan kerja dari rumah sekiranya keadaan memerlukan.

Bagaimanapun katanya, ia perlu diperhalusi terutama bagi sektor-sektor yang memerlukan kehadiran fizikal seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Imigresen, dan agensi yang berurusan dengan orang ramai.

“Kerajaan mungkin boleh mengikuti pendekatan sektor swasta, dengan melaksanakan kerja dari rumah satu atau dua hari dalam seminggu, bukan sepanjang minggu. Ini penting untuk memberi fleksibiliti kepada penjawat awam, sambil menyesuaikan diri dengan perubahan semasa,” katanya.

Bagi, Hazim Ikram Ahmad Raduan seorang pekerja swasta menekankan bahawa konflik di Asia Barat memberi kesan yang tidak boleh dipandang ringan, terutamanya terhadap ekonomi Malaysia.

“Sedikit sebanyak, konflik ini memberi impak, terutamanya apabila harga minyak global meningkat. Kenaikan harga minyak ini pasti akan menyebabkan harga barang-barang lain turut naik, apabila harga barang naik, rakyat akan terasa impaknya kerana kos sara hidup akan meningkat,” katanya.

Sementara itu, Asy al-Afiq Adnan seorang penjawat awam menyatakan bahawa dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, penting bagi setiap individu untuk bijak dalam menguruskan kewangan.

Katanya, keputusan untuk berjimat cermat atau berbelanja bergantung sepenuhnya kepada keperluan peribadi.

“Bagi saya, dalam situasi sekarang, ia bergantung kepada individu. Jika sesuatu perbelanjaan itu dirasakan perlu, kita boleh teruskan, tetapi jika tidak, kita perlu berhati-hati dan menangguhkan dahulu. Kita perlu berfikir untuk masa depan,” katanya.