Konflik Asia Barat: PM persoal sikap membisu dunia Islam

FOTO REUTERS

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan terhadap kelemahan negara-negara Islam dalam memberikan respons tegas terhadap perkembangan konflik di Asia Barat sejak seminggu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kelemahan negara-negara Islam menzahirkan ketidakmampuan bersuara secara kolektif terhadap konflik Asia Barat.
  • Kurangnya respons tegas mencerminkan kegagalan mempertahankan kepentingan dan keselamatan umat Islam serantau.
  • Beliau mengingatkan penderitaan panjang rakyat Palestin yang terus terkesan oleh keganasan dan kemusnahan.

Beliau berkata, perkembangan itu memperlihatkan kelemahan sebahagian negara Islam untuk menyuarakan pendirian yang jelas meskipun berdepan serangan serta krisis kemanusiaan yang melibatkan negara dan umat Islam.

Menurutnya, keadaan tersebut bukan sahaja menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan rantau Asia Barat, malah menunjukkan kelemahan ketara dalam kalangan negara Islam untuk bertindak secara kolektif.

“Tentunya mengusarkan kita dan menunjukkan kelemahan yang ketara dunia Islam untuk menyuarakan pandangan pun tak ada upaya.

“Bukan untuk apa, untuk suarakan boleh dikira dengan jari untuk ucap taziah kepada Ali Khamenei yang terkorban, beliau dan sebahagian anggota keluarganya dibom oleh Israel,” katanya ketika berucap semasa majlis amanat bersama warga FELDA, hari ini.

Terdahulu, konflik di Asia Barat  berlaku sejak seminggu lalu selepas Israel melancarkan serangan terhadap Iran, ketika Amerika Syarikat (AS) memulakan
operasi ketenteraan berskala besar yang dijangka berlarutan.

Beliau turut berkata, situasi berkenaan sebagai petunjuk bahawa dunia Islam masih berdepan cabaran besar dari segi kesatuan dan keberanian untuk
mempertahankan kepentingan bersama.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar berkata, dunia juga tidak seharusnya melupakan penderitaan berpanjangan rakyat Palestin di Gaza yang terus berdepan serangan dan kemusnahan.

Beliau berkata penderitaan rakyat Palestin telah berlarutan selama puluhan tahun dengan pelbagai bentuk keganasan termasuk pembunuhan orang awam, kemusnahan infrastruktur serta rampasan tanah.