Konflik Asia Barat: Malaysia sedia hadapi kenaikan kos penjanaan elektrik

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Siti Safinah Salleh

PUTRAJAYA, 1 April – Malaysia perlu bersedia menghadapi peningkatan kos bahan api bagi penjanaan elektrik susulan konflik geopolitik berterusan di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Impak sistem tenaga masih terkawal kerana sebahagian besar bekalan gas diperoleh daripada sumber domestik.
  • Krisis lalu menunjukkan peralihan semula kepada arang batu menaikkan harga; trend kenaikan kini perlahan tetapi menandakan pendedahan harga.
  • Pelarasan Automatik Kos Bahan Api dilaksanakan bulanan jika perubahan kos dalam ambang 10 peratus; melebihi memerlukan kelulusan kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Siti Safinah Salleh berkata, impak terhadap sistem tenaga negara ketika ini masih terkawal memandangkan sebahagian besar bekalan gas adalah daripada sumber domestik.

Menurutnya, kira-kira 80 peratus gas bagi penjanaan elektrik di negara ini diperoleh daripada sumber tempatan, sekali gus mengurangkan pendedahan langsung kepada turun naik harga global.

“Seperti yang kita lihat dalam krisis sebelum ini khususnya pada 2022 melibatkan Ukraine–Rusia, apabila bekalan gas global menjadi ketat, negara-negara beralih semula kepada arang batu.

“Keadaan itu menyebabkan harga arang batu meningkat. Kini kita mula melihat trend kenaikan secara perlahan, tidak mendadak, namun tetap menunjukkan kita masih mempunyai pendedahan terhadap perubahan harga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab bersama media selepas membentangkan Semakan Kawal Selia Tahunan Suruhanjaya Tenaga 2026, di sini hari ini.

Siti Safinah turut menjelaskan, peningkatan kos bahan api dijangka mula diterjemahkan dalam sistem tenaga menerusi mekanisme Pelarasan Automatik Kos Bahan Api (AFA).

Menurutnya, pelarasan melalui AFA dilaksanakan secara bulanan selagi perubahan kos berada dalam ambang 10 peratus.

“Sekiranya peningkatan melebihi paras tersebut, ia memerlukan kelulusan kerajaan sebelum sebarang pelarasan dilaksanakan,” katanya.