
PUTRAJAYA, 13 Mac – Kerajaan mengarahkan semua kementerian mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri bawah kementerian masing-masing bagi mendapatkan maklum balas berhubung kesan pergolakan di Asia Barat.
- Perdana Menteri mengarahkan kementerian adakan sesi libat urus untuk dapatkan maklum balas dan pandangan mengenai kesan konflik Asia Barat.
- Hasil perbincangan akan dibentangkan dalam mesyuarat Menteri minggu hadapan sebelum dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara.
- Kerajaan sedang meneliti langkah termasuk cadangan bekerja dari rumah bagi penjawat awam yang sedang diperhalusi.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata arahan itu dibuat oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan mengenai kesan yang dirasai akibat konflik tersebut.
“Yang Menghormat Perdana Menteri telah mengarahkan supaya semua kementerian dan semua menteri melakukan sesi libat urus dengan industri di bawah kementerian masing- masing untuk mendapatkan maklum balas, pandangan, dapatan serta kesan yang mungkin dirasai oleh industri tersebut akibat daripada pergolakan di Asia Barat,” katanya.
Menurutnya, hasil perbincangan tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat Menteri minggu hadapan sebelum dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara.
Pada masa sama, kerajaan turut meneliti beberapa langkah termasuk cadangan pelaksanaan bekerja dari rumah bagi penjawat awam yang sedang diperhalusi oleh pihak berkaitan.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Pasca Mesyuarat Kabinet Khas di Putrajaya.