Konflik Asia Barat: Belanja penuhi keperluan, elak tambah hutang

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Rakyat disaran mengurangkan perbelanjaan berbentuk kehendak bagi menghadapi situasi ekonomi yang semakin mencabar terutama ketika konflik Asia Barat yang kini, kian meruncing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekitar 75 peratus rakyat tidak bersedia secara kewangan, ramai tiada simpanan walaupun RM1,000.
  • Kurangkan pembelian barangan kehendak, elakkan gajet mahal; telefon bawah RM400 sudah mencukupi bagi keperluan asas.
  • Elak pembelian secara ansuran untuk mengurangkan beban hutang dan wujudkan simpanan kecemasan beberapa bulan pendapatan.

Perunding Kewangan Rakyat, Shamsuddin Kadir berkata, sekitar 75 peratus rakyat Malaysia tidak bersedia dari segi kewangan kerana sebahagian daripada mereka tidak mempunyai wang simpanan walaupun RM1,000.

“Cuba kurangkan pembelian barangan kehendak. Saya mengambil contoh, kalau kita pakai telefon lebih RM400, kita sebenarnya sudah menggunakan gajet di luar keperluan.

“Sebab telefon berharga RM400 dah boleh hantar mesej jadi kalau kita guna telefon beribu ringgit nilainya, sebenarnya ia sudah melangkaui kemampuan.

“Tetapi bagi saya siapa yang masih belum gunakan gaji 3 bulan lalu boleh guna telefon yang beribu ringgit,” katanya kepada RTM.

Jelasnya lagi, budaya mengekalkan gaya hidup lama turut menjadi kesilapan kewangan paling kerap dilakukan rakyat sehingga menjadikan mereka golongan paling terjejas jika berlakunya musibah.

Bukan itu sahaja, rakyat juga diseru mengurangkan tabiat membeli barangan secara ansuran bagi mengelakkan beban hutang yang berpanjangan.

“Kalau konflik di Asia Barat masih berpanjangan, negara dan rakyat akan menerima pelbagai kesan yang boleh menjejaskan kehidupan.

“Kita kena ada duit simpanan sebagai persiapan untuk menghadapi musibah,” katanya.