Komander AKPS jadi sasaran, kesan penguatkuasaan tegas

Foto BERNAMA

BUKIT KAYU HITAM, 25 Februari– Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain tidak menolak kemungkinan ada pihak yang terjejas dengan penguatkuasaan agensi itu hingga timbul risiko membabitkan kes tembakan terhadap salah seorang komandernya, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Komander AKPS Bukit Kayu Hitam ditembak pagi tadi berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.
  • Penguatkuasaan tegas mungkin menjejaskan pihak lain, berpotensi mencetuskan ancaman terhadap anggota.
  • Ketua Pengarah telah memberi amaran dan mengingatkan pegawai agar berwaspada terhadap ugutan.
  • Beliau yakin anggota AKPS melaksanakan tugas dengan baik sejak penubuhan 14 bulan lalu.

Jelas Datuk Seri Mohd Shuhaily, pihaknya memang sudah sedia maklum mengenai kemungkinan tersebut dan telah mengingatkan para pegawai serta anggotanya baru-baru ini agar berwaspada dengan sebarang ancaman.

“Empat minggu lalu, dalam satu ucapan kepada komandan dan komander, saya telah menzahirkan kebimbangan berhubung ancaman serta ugutan jenayah terhadap pegawai dan anggota di sini.”

“Perkara itu kita anggap sebagai sesuatu yang perlu diberi perhatian serius. Namun, pada pagi ini, kita tidak menjangkakan ia akan sampai ke tahap sedemikian,” katanya.

Beliau mengulas mengenai insiden kenderaan dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir yang ditembak di susur masuk Masjid Al Muhajirin, kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand pada pukul 5.40 pagi tadi.

Tegas Datuk Seri Mohd Shuhaily, beliau juga yakin kesemua anak buahnya telah menjalankan tanggungjawab dan tugas dengan baik sejak AKPS ditubuhkan 14 bulan lepas.