fb fb fb fb fb

Kolej tingkatan enam akan diwujudkan di Perlis

Foto Istana Perlis

KANGAR, 2 September- Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyokong penuh hasrat Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, mewujudkan sebuah Kolej Tingkatan Enam di Perlis.

Ini selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang sedang merangka beberapa inisiatif untuk pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) termasuk perancangan membina Kolej Tingkatan Enam Premium pada tahun hadapan.

Titah baginda Kolej Tingkatan Enam Perlis dilihat satu perkara mustahak sebagai satu langkah bagi memberikan fokus kepada program Pra Universiti Tingkatan Enam daripada segi peranan, pencapaian dan prestasi kemenjadian pelajar.

"Satu tapak tanah milik Kerajaan Persekutuan yang bersesuaian harus dikenal pasti untuk tujuan tersebut terlebih dahulu" Titah baginda ketika berkenan menyempurnakan simbolik penyerahan Bantuan Serta merta Pra-Universiti berjumlah RM 301,200 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada seramai 251 orang pelajar tingkatan enam mewakili lapan buah sekolah menengah terpilih di Jabatan Pendidikan Negeri, di sini.

"Sekolah-sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arau, Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi, Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Suleiman, Sekolah Menengah Kebangsaan Putra, Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan) Alawiyah Kangar, Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Derma," titah Baginda.

Setiap pelajar menerima sumbangan RM1,200 yang diagihkan kepada pelajar semester dua yang mencapai sekurang-kurangnya CGPA 1.8. 

TETITIA YUSOFF