fb fb fb fb fb

Kolaborasi IKIM, Universiti Al-Azhar tingkat kefahaman Islam

Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb bersama Mohd Na'im Mokhtar di ibu negara hari ini

KUALA LUMPUR, 4 Julai- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan berkolaborasi dengan Universiti Al-Azhar di Mesir bagi meningkatkan kefahaman Islam dalam kalangan sarjana dari institut tersebut.

Pengerusi IKIM, Profesor Datuk Dr Muhammad Nur Manuty berkata, usaha tersebut termasuk menyertai kursus-kursus anjuran universiti terkemuka itu.

"Kami bercadang akan buat memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) bagi mengorak langkah untuk lebih merapat dan memanfaatkan (hubungan antara IKIM dan Universiti Al-Azhar).

"Kita juga akan memanggil lagi tokoh-tokoh ilmuwan Islam yang mempunyai keupayaan dalam bahasa Arab dan Inggeris. Dalam konteks dakwah hari ini, kita memerlukan ulama yang kompeten dalam kedua-dua bahasa itu," katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika melakukan kunjungan hormat kepada Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb di sini hari ini.

Sesi tersebut turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Dalam pertemuan itu, Mohd Na'im turut menyatakan hasrat agar satu program khas diwujudkan di Kolej Al-Quran dan Sains di Universiti Al-Azhar di Kampus Tanta, Mesir bagi pelajar Malaysia yang memiliki diploma hafazan al-Quran dan tilawah.

Beliau turut memohon peruntukan biasiswa bagi pelajar cacat penglihatan untuk belajar di Universiti Al-Azhar serta mengucapkan penghargaan atas sokongan Sheikh Al-Azhar kepada Malaysia dalam bidang pengajian agama dan hal ehwal Islam.

SITI AISHAH MD ISA