KM Melaka pertimbang peletakan jawatan Dr Muhammad Akmal

Datuk Dr. Akmal ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO di WTC hari ini

KUALA LUMPUR, 15 Januari – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh akan mempertimbangkan dan meneliti keputusan peletakan jawatan Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua Menteri Melaka akan meneliti dan mempertimbangkan surat peletakan jawatan Dr Muhamad Akmal sebelum membuat keputusan.
  • Ab Rauf menghormati keputusan Dr Muhamad Akmal dan akan berbincang sebelum menerima atau menolak peletakan jawatan.
  • Peletakan jawatan diumumkan semasa ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO selepas gesaan Akmal supaya UMNO keluar dari Kerajaan Perpaduan.

Ab Rauf berkata, beliau menghormati keputusan Dr Muhamad Akmal sambil menunggu surat rasmi berhubung peletakan jawatan berkenaan yang berkuat
kuasa minggu depan.

“Sebagai Ketua Menteri, saya akan menunggu surat rasmi untuk saya pertimbangkan sama ada saya menerima ataupun tidak. Itu bergantung kepada
perbincangan saya nanti.

“Bagaimanapun, saya menghormati keputusan Dr Muhammad Akmal kerana beliau’berkarya’ cara pemuda dan saya juga akan meneliti serta menilai daripada
sudut kaedah untuk menguruskan isu ini dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Terdahulu, Dr Muhamad Akmal mengumumkan peletakan jawatan itu ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung
Pemuda UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Sebelum ini, media melaporkan Dr Muhamad Akmal memberi bayangan untuk berundur daripada jawatan disandangnya ketika ini susulan gesaan beliau
supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan.