fb fb fb fb fb

KLIA alami kebocoran akibat hujan lebat, ribut

Foto Fail

SEPANG, 14 November- Beberapa bahagian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengalami kebocoran susulan hujan lebat dan ribut kuat yang melanda kawasan tersebut, petang ini.

Badan pengurusan bangunan itu memaklumkan pasukan teknikal berada dalam keadaan siap siaga tinggi bagi memastikan keselamatan penumpang dan melindungi sistem operasi lapangan terbang.

Menurut Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam satu hantaran di Facebook berkata pasukan kejuruteraan, operasi dan keselamatan telah dikerah serta-merta ke lokasi terjejas bagi menjalankan kerja-kerja kawalan, pembendungan dan pemantauan rapi terhadap risiko yang melibatkan sistem elektrik.

Pihak lapangan terbang juga sedang berhubung rapat dengan rakan syarikat penerbangan bagi meminimumkan sebarang gangguan operasi sepanjang kejadian.

Cuaca ribut dan hujan lebat dijangka berterusan sehingga sekitar pukul 6.00 petang, dan langkah pemantauan tambahan sudah pun diaktifkan untuk memastikan keadaan berada dalam kawalan.

Perkembangan terkini akan dikongsikan dari semasa ke semasa selain menzahirkan penghargaan atas kesabaran serta kerjasama para penumpang.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM