fb fb fb fb fb

KKM rampas 21, 571 produk kesihatan tidak sah tahun lalu

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA SELANGOR, 3 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas ubat-ubatan, kosmetik dan bahan mentah tidak sah bernilai RM37.5 juta tahun lalu,

Ini sekali gus mencatatkan peningkatan berbanding RM24.8 juta pada 2023.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, rampasan itu melibatkan 21,571 produk tidak sah, termasuk kosmetik dan suplemen kesihatan yang mengandungi bahan terlarang atau tidak berdaftar dengan pihak berkuasa.

“Kita tidak melarang rakyat berusaha kelihatan cantik dan sihat, tetapi jangan sampai menggunakan produk yang memudaratkan kesihatan terutamanya (penggunaan) kosmetik” katanya selepas melancarkan Program Kembara Tolak Tobat Ubat Tidak Sah (TOBaTS) Zon Tengah 2025 di sini, hari ini.

Menurut beliau, penjualan ubat tidak sah bukan sahaja berlaku secara fizikal tetapi juga menerusi platform dalam talian.

Katanya, kementerian telah menyekat dan menurunkan lebih 15,000 pautan penjualan ubat tidak sah oleh kementerian.

“Kita mungkin tidak melihat kematian serta-merta, tetapi ramai pesakit akhirnya mengalami kegagalan organ hingga perlu menjalani dialisis yang menelan kos RM35,000 setahun dan ditanggung kerajaan,” ujarnya.

Katanya, kementerian mengenal pasti lima jenis ubat tidak sah, termasuk ubat tiruan, tidak berdaftar dengan KKM, mengandungi bahan terlarang, diperoleh melalui sumber tidak sah, serta diimport tanpa kelulusan kementerian.

Susulan itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya memastikan produk kesihatan yang dibeli, khususnya secara dalam talian, telah disahkan selamat dan berdaftar.

"Orang ramai boleh mengenal pasti produk tidak sah melalui label, hologram keselamatan atau aplikasi seperti FarmaChecker," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN