fb fb fb fb fb

KKM lulus peruntukan RM26.1 juta baik pulih, naik taraf klinik daif di Kedah

Datuk Lukanisman Awang Sauni

KULIM, 9 Februari- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan peruntukan berjumlah RM26.1 juta bagi membaik pulih dan menaik taraf 41 klinik kesihatan daif di Kedah, tahun ini.
 
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata jumlah itu meningkat lebih sekali ganda berbanding RM13.1 juta melibatkan 42 projek naik taraf serta roboh dan bina baharu, tahun lalu.

Kesemua projek naik taraf klinik daif di negeri itu yang telah diluluskan pada tahun lalu berjaya disiapkan mengikut jadual.
 
Ia merupakan sebahagian daripada 300 projek yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2025 dan merupakan salah satu transformasi kesihatan yang sedang dijalankan KKM di seluruh negara.

"Bukan semua klinik yang kita dapat naik taraf tetapi fokus kita berikan kepada klinik-klinik desa dan juga ruangan-ruangan klinik yang memerlukan naik taraf untuk memberikan perkhidmatan lebih baik.

"Inilah yang diinginkan oleh kerajaan Malaysia MADANI dengan menawarkan satu transformasi agar dapat dirasai ataupun menyelesaikan ketidakselesaan dihadapi oleh klien-klien kita," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kedah Sihat 2025 sempena perasmian Wellness Hub Kulim dan Penyerahan Kunci Pusat Rekod Perubatan Zon Utara di perkarangan Wellness Hub Kulim, di sini.

Wellness Hub Kulim merupakan Wellness Hub ke-3 di Kedah dan ke-31 di Malaysia.
 
Dalam pada itu KKM juga merancang untuk mewujudkan sembilan lagi perkhidmatan Wellness Hub baharu di seluruh negara tahun ini.
 
Antaranya di Sabah iaitu di Putatan dan Sandakan di Sabah; Sarawak (Sibuti); Selangor (Kuala Selangor dan Hulu Langat); Perak (Muallim); Pulau Pinang (Timur Laut); Melaka (Alai) dan Johor (Muar).
 
KKM menyasarkan setiap daerah di seluruh negara mempunyai sekurang-kurangnya sebuah Wellness Hub menjelang tahun 2030.
 
Wellness Hub menawarkan perkhidmatan seperti penilaian faktor risiko kesihatan, runding cara hidup sihat, saringan kecergasan, pengurusan berat badan, perkhidmatan berhenti merokok, galeri info sihat dan mini gimnasium.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI