fb fb fb fb fb

KKM lulus BIPPW kepada pegawai perubatan dalam tempoh SWE

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 14 Julai - Kerajaan meluluskan pelaksanaan Bayaran Insentif Pakar Prawarta (BIPPW) kepada pegawai perubatan yang sedang menjalani tempoh pengalaman kerja diselia (SWE) selepas tamat latihan kepakaran.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan, pelaksanaan BIPPW selaras dengan Akta Perubatan (Pindaan) 2024 [Akta A1729] yang mula dikuatkuasakan pada 1 Julai lalu.

"Bayaran BIPPW ini akan mula diberikan sebaik sahaja pegawai memulakan SWE. Sebelum Akta Perubatan 1971 dipinda pada 2024, proses ini dikenali sebagai Proses Pewartaan Pakar, iaitu pegawai itu hanya akan menerima Bayaran Insentif Pakar (BIP) setelah berjaya menamatkan proses pewartaan.

"Kadar bayaran bagi BIPPW adalah sama seperti kadar bayaran bagi BIP dan ditetapkan mengikut gred hakiki pegawai, melibatkan Gred 10 hingga 14," menurut kenyataan itu.

SWE adalah suatu tempoh percubaan yang perlu dilalui semua pegawai perubatan setelah berjaya tamat latihan kepakaran.

Pegawai akan diselia oleh pakar perubatan lebih kanan bagi memastikan mereka kompeten dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pakar.

"Pemberian insentif ini juga adalah pengiktirafan terhadap komitmen dan beban tugas yang dipikul oleh pegawai sepanjang menjalani tempoh SWE, yang melibatkan pelaksanaan tugas seperti seorang pakar perubatan.

"Ia juga adalah langkah signifikan ke arah penjagaan kebajikan warga kerja KKM, di samping meningkatkan motivasi dan memastikan kesinambungan perkhidmatan perubatan kepada rakyat," tambah kenyataan itu.

Dengan penguatkuasaan Akta A1729, semua latihan kepakaran yang dijalankan dalam negara adalah lebih teratur dari segi undang-undang.

Kenyataan sama turut memaklumkan bahawa, mana-mana pengamal perubatan yang terjejas dengan isu pengiktirafan serta pendaftaran pakar khususnya mereka dalam bidang pembedahan kardiotorasik, perubatan keluarga, pembedahan plastik dan patologi generik, kini boleh dipertimbangkan untuk pendaftaran sebagaimana yang telah dijanjikan oleh kerajaan pada awal 2024.

"Pegawai perubatan yang menjalani SWE selaras dengan keteraturan proses yang berkaitan juga tidak perlu lagi bimbang mengenai elaun yang mereka layak terima dan KKM komited untuk terus memperkasa sistem kesihatan negara dan berharap semua pegawai dapat memberikan sumbangan berterusan demi kesejahteraan masyarakat," menurut kenyataan itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI