fb fb fb fb fb

KKM akan keluar arahan dos penggalak ketiga dalam masa terdekat

PUTRAJAYA, 14 Disember - Arahan dos penggalak ketiga vaksin COVID-19 akan dikeluarkan terutama terhadap golongan rentan dan berisiko tinggi dalam masa terdekat; berikutan peningkatan kes kebelakangan ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bekalan vaksin masih mencukupi dan belum mencapai tarikh luput selain ia berkesan melindungi orang ramai daripada jangkitan mutasi dan strain baharu COVID-19 untuk pelaksanaan dos penggalak ketiga.

"Dos penggalak perlu untuk melindungi kumpulan rentan termasuk warga emas dan golongan komorbid yang mudah terdedah kepada risiko dan kesan memudaratkan.

"Kita (KKM) sedar ada sedikit peningkatan kes (COVID-19) dan mutakhir adalah dalam lebih 12,000. Saya telah memberitahu Kabinet semalam untuk maklum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dah ahli kabinet akan situasi ini dan wajar kita berikan perhatian,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini.

Sementara itu, KKM menggalakkan pemakaian penutup muka kepada orang ramai ketika musim cuti sekolah sama ada yang bercuti dalam dan luar negara.

Dzulkefly berkata beliau telah memberitahu Kabinet mengenai situasi semasa COVID-19 di negara ini, sambil menambah bahawa peningkatan kes adalah disebabkan tahap tinggi orang bergerak semasa musim cuti akhir tahun.

"Sebaiknya bagi kita yang sesak gunalah pelitup muka dan bagi yang bergejala seharusnya menyelamatkan yang lain (supaya tidak dijangkiti) dengan memakai pelitup muka dan bagi yang positif COVID-19 kita masih lagi ada cuti kuarantin selama lima hari.

Beliau turut menjelaskan mengenai sama ada kementerian akan mengetatkan saringan di pintu-pintu masuk antarabangsa berikutan peningkatan jumlah kes; langkah intervensi dan mitigasi yang sesuai akan diambil segera sekiranya diperlukan.

 

TETITIA YUSOFF