BALIK PULAU, 7 Jun- Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berusaha untuk menambah lebih ramai pakar geriatrik atau sakit tua dalam menghadapi negara menua menjelang 2030.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam usaha menangani kekurangan pakar geriatrik di negara ini.
Beliau berkata negara mengalami kekurangan pakar tersebut dan cabaran terbesar adalah untuk menarik minat doktor menceburi bidang ini dengan purata lapan pakar geriatrik dikeluarkan setiap tahun.
Setakat ini, terdapat 33 pakar geriatrik di fasiliti kesihatan awam seluruh negara, selain 13 di hospital-hospital KPT dan 14 di hospital swasta.
"Jadi secara purata kita dapat, kita mengharapkan penambahan sekurang-kurangnya hospital ada lebih lapan setahun, jadi adalah sukar untuk mendapatkan graduan perubatan atau pegawai perubatan yang berminat dalam bidang ini (geriatrik).
"Bagaimanapun, kita juga akan berbincang dengan KPT, berbincang dengan program-program sarjana perubatan akan datang untuk mempertingkatkan jumlah pakar geriatrik, untuk kita pertingkat iaitu komitmen KKM, paling tidaknya kita akan ada tambahan perjawatan kurang lebih lapan pakar setahun", katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Klinik Kesihatan Air Putih, di Balik Pulau.
Ketika ini, Universiti Malaya adalah satu-satunya universiti dalam negara yang menawarkan program kepakaran geriatrik dengan melahirkan antara tiga hingga lapan siswazah setahun dalam bidang itu.
Kementerian akan berusaha menggalakkan lebih ramai penyertaan pelajar perubatan termasuk mempertimbangkan insentif yang bersesuaian.