KUALA LUMPUR, 9 Januari- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bersetuju untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang bagi pembangunan generasi baharu FELDA.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ia termasuk aspek infrastruktur, modal insan, TVET, keusahawanan, perladangan serta Program Siap Siaga Felda.
"Kami bekerja secara 'smart partnership', satu konsep pintar di mana kami telah bersetuju antaranya untuk mengendalikan kursus yang dikendalikan oleh FELDA iaitu kursus TVET seiring dengan kehendak pasaran."
"Begitu juga untuk menaikkan taraf dan pembaikan infrastruktur umpamanya. Ini juga saya akan dapatkan kelulusan daripada kabinet supaya peruntukan sedia ada bawah KKDW dapat digunakan sebahagiannya bagi membantu infrastruktur di FELDA," kata Dr. Ahmad Zahid kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Koordinasi KKDW dan Felda di ibu negara.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pelbagai perkara lain akan dibincangkan dari semasa ke semasa bagi memudahkan pengubahsuaian akta dan perubahan sosio-ekonomi warga peneroka.