KUALA LUMPUR, 4 November- Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengadakan perbincangan dengan agensi dan kementerian berkaitan berkenaan aspek kawal selia di TikTok Shop.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, ia susulan aduan awam yang bimbang jika kerajaan mengambil langkah sama seperti Indonesia yang mengharamkan transaksi e-dagang di platform tersebut.
"Saya ada minta beberapa susulan perbincangan sebab maklumat perlu lebih terperinci dan selepas ini insya-Allah dengan beberapa maklumat yang kita kumpulkan, kita akan adakan perbincangan dengan beberapa kementerian lain atau agensi berkaitan kerana dari segi bidang kuasa bagi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ia adalah lebih ke arah kawal selia penggunaan rangkaian", katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyerahkan sumbangan Deepavali kepada masyarakat India di Lembah Pantai.
Khamis lalu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching mengadakan pertemuan dengan pihak TikTok bagi membincangkan perkara tersebut. Hasil pertemuan tersebut, pihaknya telah mendapat maklumat asas mengenai demografi dan barangan yang dijual menerusi platform tersebut.
Dalam pada itu, Fahmi berkata isu kandungan pengendali TikTok yang dihalang membuat TikTok Live berkenaan isu Palestin turut diambil perhatian.
Beliau berkata pihak SKMM telah mengadakan perbincangan dengan pengendali TikTok bagi menyelesaikan perkara tersebut.
Katanya, walaupun mendapat kerjasama daripada TikTok, sehingga hari ini belum ada wakil daripada pihak tersebut di Malaysia.
"Pihak SKMM telah mengadakan perbincangan dengan pihak TikTok itu sendiri. Saya dapati aduan yang kita terima tidak dapat dijawab dengan baik.
"Sebagai contoh, ada pihak sebelum ini membuat aduan dengan pihak SKMM mengatakan, bila mereka hendak buat TikTok Live tetapi mereka dihalang khususnya untuk membincangkan isu Palestin, tapi bila diberi jawapan dari pihak TikTok, jawapan sangat memalukan, kalau itulah jawapannya. Ia tidak memberi satu gambaran yang baik dan pihak SKMM juga ada memaklumkan beberapa perkara yang sedikit membimbangkan dari segi kawal selia. Jadi saya minta satu pertemuan akhir diadakan dengan pihak TikTok sebelum kita putuskan beberapa perkara", katanya.