SIMPANG AMPAT, 1 April- Sebuah kilang memproses bahan-bahan binaan terbakar dalam kebakaran di Jalan Besar, di sini pada Ahad.
Menurut Komander Operasi Kanan JBPM Pulau Pinang, Mohamad Tarmizi Abdul Salam, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 5.45 petang.
Beliau memaklumkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap, BBP Bandar Perda, BBP Batu Kawan dan BBP Bukit Mertajam digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pemadaman.
"Apabila tiba di lokasi kejadian kami mendapati sebuah kilang memproses bahan-bahan binaan yang berkeluasan anggaran 200x100 kaki persegi telah terbakar dengan peratusan kemusnahan sebanyak 40%.
"Bagaimanapun, tiada mangsa yang dilaporkan terlibat dalam kebakaran itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Tarmizi berkata kebakaran berjaya dikawal pada pukul 11.51 malam.
Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada pukul 5.40 pagi tadi dan nilai kerugian serta punca kejadian masih dalam siasatan.