Ketuanan Melayu perlu diterjemah melalui tindakan, bukan slogan – PM

Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 4 Julai – Dasar memperkasakan ketuanan Melayu tidak seharusnya sekadar dijadikan slogan politik ketika musim pilihan raya, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi tindakan dan pelaksanaan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendedahan penyalahgunaan kontrak, projek dan harta yang sepatutnya memberi manfaat kepada orang Melayu selepas mendapat kuasa
  • Melaksanakan inisiatif seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad untuk tingkatkan penyertaan belia Bumiputera dalam keusahawanan
  • Isytihar kira-kira 50 ekar tanah bernilai tinggi di Kuala Lumpur sebagai Tanah Rizab Melayu; Kerajaan MADANI bantu semua kaum secara adil

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu itu sering dijadikan sandaran untuk meraih undi sedangkan pembelaan itu wajar dilaksanakan dengan tindakan serta dasar yang telus.

“Jangan sekadar melaungkan semangat Bumiputera, hidup Melayu atau ketuanan Melayu ketika musim pilihan raya. Selepas mendapat kuasa, kontrak, projek dan harta yang sepatutnya memberi manfaat kepada orang Melayu pula disalahgunakan.

“Kalau benar mahu membantu orang Melayu, tidak perlu dijadikan slogan yang dilaungkan ketika pilihan raya. Laksanakan sahaja dasar dan tindakan yang benar-benar memberi manfaat kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) Peringkat Negeri Johor di Taman Melor, Tampoi, hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menambah, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkukuh kedudukan orang Melayu dan Bumiputera, termasuk melancarkan program Perbadanan Usahawan Nasional Berhad bagi meningkatkan penyertaan golongan muda Bumiputera dalam bidang keusahawanan.

Beliau turut memaklumkan, kerajaan mengisytiharkan kira-kira 50 ekar tanah bernilai tinggi di Kuala Lumpur sebagai Tanah Rizab Melayu, yang disifatkan sebagai langkah pertama seumpamanya sejak negara mencapai kemerdekaan.

Dalam masa sama, Datuk Seri Anwar juga turut menegaskan Kerajaan MADANI akan terus membantu semua kaum secara adil tanpa mengetepikan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.