fb fb fb fb fb

Ketua jabatan gagal lapor rasuah mungkin berdepan kehilangan kerja

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR, 13 Jun- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengalu-alukan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penyekatan kenaikan pangkat kepada mana-mana ketua Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang masih mengizinkan kesalahan rasuah berlaku di bawah seliaan masing-masing.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata mana-mana ketua jabatan yang gagal melaporkan sebarang amalan rasuah di kawasan masing-masing mungkin akan kehilangan pekerjaan atau menghadapi tuduhan jenayah.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan JPA dan Ketua Setiausaha Negara bagi melihat kaedah atau mekanisme pelaporan yang bersesuaian berhubung isu tersebut.

"Ini adalah akauntabiliti kepada semua ketua-ketua jabatan dan juga atasan kerana perkara tentang melaporkan perbuatan rasuah di bawah pegawai-pegawai, di bawah kakitangan ini adalah 'timely' untuk mereka pengawasan dan melaporkan kepada peringkat atas dan juga SPRM kerana ianya tidak diambil berat perkara ini.. ia akan menyebabkan keruntuhan dalam perkhidmatan awam.

"Untuk SPRM setakat ini, kita menyambut saranan dan kita akan berbincang dulu dengan pihak perkhidmatan awam dan juga Ketua Setiausaha Negara untuk melihat tentang kaedah atau mekanisme pelaporan ini," katanya ditemui selepas menyempurnakan pelancaran buku bertajuk 'The Sin Of Corruption A Religious Perspective' di sini.

Pada 10 Jun lalu, Anwar mencadangkan ketua jabatan atau unit kerajaan tidak akan dinaikkan pangkat sekiranya gagal melaporkan sebarang amalan rasuah di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, walaupun SPRM dan pihak berkuasa lain menjalankan tugas dengan baik, ketua jabatan dan unit kerajaan juga perlu memainkan peranan mereka.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM